ZR
Makin lama makin hebat, nak luahkan dengan kata-kata bimbang andai hati terguris namun ingin nak melukis bimbang tidak cantik warnanya, jadi bagaimana harus kulakukan.
Benar akal ini ada namun sehingga bila ia kan waras jika terus diterjah, benar sabar ini ada namun sampai bila akan bertahan selama peluru hentaman bertalu-talu cuba menembusi.
Hati ini makin rajuk, makin sakit dengan sebatan-sebatan yang halus namun penuh bisa, sedarkan daku agar terus bangkit walau ada yang menolakku untuk jatuh, memang kuasaku tidak setanding untuk melawan rempuhan sebesar gelombang, namun tetapkan kaki ku untuk terus bertahan, walau ada luka mungkin ada yang terhilang tetapkan redha dalam diriku, bukan redha hanya dibibir namun redha atas jalanNYA.
Hamparan kata dan lontaran irama kebencian ibarat lagu yang sentiasa menemani, walau sederas mana kulari makin ia hampiri, walau sejujur mana bicara ini tetap dipandang sepi. Kata sepi yang hadir penuh bisa penuh sayu membisikkan betapa aku makin layu makin larut dalam acuan mereka yang pelbagai, seperti aku harus menyerah, seperti aku harus saja menerima untuk memikul apa yang ditunjal-tunjal diubun-ubun ku. haruskah aku membiarkan ruang itu hadir, pengecutkah aku kerana hanya mampu berdiam bila setiap butiran kata ku hanya memberikan gambaran ketidaksenangan.
Puas ku pujuk minda agar berjalan diaras rasional, usah dilawan emosional namun aku punya rasa, aku punya perasaan. Aku juga punya amarah maka wajarkah amarahku ini hanya sebagai perhiasan semata, atau memang harus ku lemparkan terus amarah yang ada kerana DIA lebih tahu.
Tidak perlu daku cuba untuk menjadi yang terbaik, tidak perlu daku menerbitkan airmata kerana simpati tidak akan hadir buat diri ini, walau berjuta warna pelangi yang cuba kuberikan akan tetap nampak kelabu dimata mereka. Aku dipandangan ibarat kaca yang tidak berkilau, walau yang nyata permata itu belum pasti tulen dan dalam permata belum pasti tiada kaca.
Berikan aku kekuatan untuk berperang diatas jalan yang benar, walau tiang keberanan itu masih jauh. namun ku pasti benar itu akan hadir walau dipenamat sebuah cerita. Selama menuju benar aku ku cuba telan segala hinaan, makian, kata cerca walau akan tersekat dikerongkong akan kucari air untuk menelan hingga ke perutku. Ku tadahkan tangan mengaminkan setiap doa buatku.
Aku juga seperti kalian tidak akan meminta simpati apatah lagi memohon simpati sekadar pengertian, walau tiada belas dihati namun usah aku terus dijadikan bola yang boleh ditendang sesuka hati. Tidak perlu memahami hati ini, tidak perlu memuji diri ini dan tidak juga terusan menghukum diri ini tanpa bersifat adil pada ku. Berilah ruang untuk aku menyusun kata, berilah aku masa untuk menujukkan yang tersembunyi. Usah mudah menjatuhkan hukuman kerana masa tidak boleh diundur jangan mudah memberikan simpati kerana masa tidak akan kembali.
YA Allah, ku terima tiap ujianMU kerana DIKAU berhak keatas ku, walau ada kesal walau ada rintihan namun KAU kuatkan aku untuk terus kekal pada arasMU.
Airmata yang terkadang jatuh halalkanlah ia untuk menangis kernaMU, panjatkan terus rasa syukur kerana ku yakin ujianMu hadir buat insan yang KAU sayangi, maka gembirakanlah aku dalam menerima kepahitan yang bertalu.
No comments:
Post a Comment
TQ..TQ Atas kata-kata comel